Showing posts with label Madinah. Show all posts

Catatan perjalanan Ke Madinah Kota Bercahaya Bah. 2 - Raudhah tempat mustajab doa

Salam

Untuk bahagian 2 ni, aku buat pendek sikit ye. Ada kerja lain yang perlu dilakukan. Maaf kalau ada yang tak puas membacanya.

Apabila menghampiri kawasan Masjid Nabawi, kita boleh lihat bangunan yang tinggi-tinggi;

 Bangunan yang tinggi ini mengelilingi kawasan masjid Nabawi.
Kebanyakkan bangunan tinggi ini adalah hotel.


Apabila sudah check-in hotel, dan mempersiapkan diri, bolehlah turun dan pergi ke arah masjid untuk beribadat. Bagi aku, adalah lebih mudah kita pergi awal sejam untuk mendapat tempat di bahagian hadapan masjid, atau pun bersedia di kawasan berdekatan dengan Raudhah.

 Curik-curik amik gambar lepas solat Zohor.

Raudhah adalah sebahagian Taman Syurga dan ia terletak dalam Masjid Nabawi. Pada asalnya ia adalah tapak asal rumah Nabi Muhammad SAW dan luasnya hingga ke mimbar masjid tersebut. Dan ia adalah merupakan tempat mustajab doa. Kawasan ini dapat dikenali dengan perbezaan warna karpet, iaitu karpet bercorak warna hijau, dan kawasan lain adalah dengan karpet berwarna merah.

Jadinya, kena laa pasang strategi yang baik untuk dapatkan masa dan tempat ini seketika untuk berdoa, kerana tersangatlah ramai orang yang berada di kawasan Raudhah ini.

Strategi yang aku baca daripada buku 'Pembimbing ke Tanah Suci' dan juga ditambah dengan pengalaman sendiri aku menyarankan;

1. Datang awal (satu jam) ke masjid dan duduk berhampiran dengan kawasan Raudhah. Kalau ada kesempatan boleh terus sahaja ke kawasan Raudhah jika orang tidak ramai.

2. Apabila selesai waktu solat fardhu dan solat jenazah (setiap waktu solat fardhu selesai, akan ada solat jenazah), bergeraklah ke kawasan Raudhah dan sambil berzikir dan berdoa agar usaha dipermudahkan untuk beribadat dalam kawasan Raudhah.

Boleh nampak tak mimbar kat tengah-tengah gambar tuh ?

3. Jangan menyelit daripada tepi kawasan Raudhah, kerana sukar untuk mendapatkan tempat. Bergerak  daripada arah belakang Raudhah dan bergerak sedikit demi sedikit ke hadapan, sehingga menjumpai tempat yang sesuai.

4. Apabila sudah mendapat tempat, lakukan solat sunat dua rakaat. Dan setelah selesai, berdoalah diampunkan dosa dan dikurniakan syafaat pada Hari Akhirat. Kemudian tambah laa hajat sendiri.

5. Jangan ambil masa terlalu lama, dan setelah selesai, berilah peluang kepada orang lain untuk membuat solat sunat.

6. Setelah selesai, ikut arus orang ramai bergerak ke hadapan ke arah jalan keluar daripada Masjid melalui hadapan makam Nabi Muhammad SAW. 

7. Semasa melalui makam, berilahlah Salam kepada Nabi Muhammad SAW. Dan kemudiannya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Kawasan Raudhah ini ada ditutup untuk masa-masa tertentu kerana memberi laluan kepada Jemaah Wanita untuk mendapatkan peluang beribadat dalam Raudhah. Tapi aku tak pasti waktunya.

 Kawasan luar Masjid Nabawi selepas waktu solat

Apabila selesai, boleelah pergi mendapatkan tempat di masjid untuk meneruskan ibadat ataupun keluar sebentar untuk makan, atau memberi sedikit ole-ole.

Suasana selepas solat fardhu, di kawasan berpayung 

 Ni laa payung yang ada dalam masjid
Sayang tak dapat tengok time dia buka tutup

 Mula misi mencari kedai makan

Gambar member di depan Hotel Madinah Hilton



Ruang legar di depan pintu belakang (pintu tengah) Masjid Nabawi



Catatan perjalanan Ke Madinah Kota Bercahaya Bah. 1

Salam

Sori sangat buat yang menunggu. Boleh je nak taip dulu baru nak post pasal benda ni. Tapi boleh lak ngada-ngada nak buat spoiler dulu baru nak post kan. Sebab excited betul.

Pertamanya, aku tak sangka yang aku akan sampai ke Madinah. (Perhatian ye, adab n tingkah laku kena dijaga di Madinah, sama macam Mekah, kerana Nabi Muhammad SAW, memberi amaran keras terhadap yang membuat binasa di kawasan Madinah). 

Lawatan ini adalah anjuran Kelab Rakyat Malaysia Jubail (KRMJ, yang anjurkan Festival Malaysia hari tuh) dan kos untuk menyertai aktiviti adalah 250 riyal sahaja (lebih kurang RM 200).

Perjalanan daripada Jubail ke Madinah mengambil masa selama 14 jam perjalanan (serius lama), tapi mungkin aku tak berasa terlalu lama, sebab tidur hampir keseluruhan perjalanan kerana pada hari sebelumnya terpaksa overtime selama 4 jam, selama seminggu. Tersangatlah penat.

Disebabkan cuti hujung minggu di Saudi Arabia adalah pada hari Khamis dan Jumaaat, maka perjalanan kami bermula pada pukul 6.00 PM (sesudah waktu Maghrib, 5.15 PM) pada hari Rabu. 

Dalam perjalanan ini, hampir penuh satu bas (mungkin dalam 36 orang) dan hampir separuh daripada rombongan adalah se-syarikat dengan aku. Ada daripada yang mereka ni pernah pergi dan juga ada juga kali pertama.

Pada mulanya aku berniat nak join rombongan ini sebab ingin bersiar-siar. Ye la, seronok dapat tengok tempat orang kan. Tapi terima kasih kepada AJK KRMJ yang mengingatkan pada awal perjalanan, untuk pasang niat, beribadat di Masjid Nabawi. Itulah tujuan utama rombongan ini dibuat juga.

<Skip cerita dalam perjalanan k. Kami berhenti kira 3-4 kali untuk berhenti ke tandas dan mengisi minyak bas>

Selepas solat Subuh di perhentian RnR, perjalanan 1jam seterusnya akan sampai ke Madinah. Dan digalakkan (berdasarkan buku panduan 'Pembimbing Ke Tanah Suci' hasil Haji Wan Moh Nor) bila sampai ke Madinah untuk pergi ke Masjid Quba dan solat sunat dua rakaat di situ dalam keadaan berwudhu sebelum masuk ke Madinah. Pahalanya adalah sama seperti pahala melakukan umrah. (tak dapat, sebab terkentut)

Geng satu company di Masjid Quba

Setelah selesai solat, kami diberi kebebasan untuk berlegar di sekitar masjid sambil bersarapan, sambil membeli kurma dan sambil menunggu tour guide kami Ustaz Syafiq (pelajar tahun kedua Univerisiti Madinah)


Kawasan kedai sekitar Masjid Quba

Suasana di sini memang ramai dengan pelbagai bangsa. Berbagai ragam juga. At least tak macam Jubail, bila tengok kami, mereka ingat kami Filipina, tapi di sini, bila tuan kedai nampak kami, semua perkataan Melayu yang dia tahu, dia akan sebut. Contoh, "Belilah", "Sepuluh riyal sahaja", "Macam2 kurma ada". 

Tag kedai yang macam kat Malaysia

Apabila Ustaz Syafiq sampai, kami pun mula bergerak, dan destinasi pertama kami adalah Masjid Qiblatain (Masjid 2 Kiblat)

Aku dan Masjid Qiblatain

Sama maksud dengan nama masjid ini, inilah dia tempat berlakunya turunnya wahyu di mana arah kiblat ditukarkan daripada Masjid Al-Aqsa kepada Masjidil Haram. Di mana, semasa turunnya wahyu tersebut, Nabi Muhammad SAW sedang mengimamkan solat, mendapat wahyu. Dan ketika itu, Nabi Muhammad SAW, berpusing sebanyak 180 darjah, dan bergerak menerusi jemaah sehingga ke barisan terakhir. Dan ketika itu, baris pertama menjadi baris terakhir dan baris terakhir menjadi saf pertama dalam solat tersebut.


Geng budak bilik berlatar belakang Bukit Uhud

Destinasi kedua kami adalah ke Bukit Uhud. Dan disini, kami diperdengarkan kisah perang Uhud oleh Ustaz Syafiq. Di mana dalam perang ini, tentera Islam kalah kerana pemanah ingkar dengan perintah nabi, untuk kekal berada di bukit memanah walau apa pun berlaku.


Bukit memanah


Pemandangan daripada bukit memanah
Kawasan lapang di dalam gambar itu adalah kawasan perkuburan orang Islam yang mati syahid dalam perang Uhud. Di sinilah kuburnya Saidina Hamzah

Dalam pukul 10 lebih, lawatan kami pon tamat, dan kami semua naik ke bas untuk bergerak ke hotel penginapan. Dan berapa untungnya kami, hotel yang ditempah sangat berdekatan dengan Masjid Nabawi. Haa, berapa punya dekat ? Keluar daripada bangunan hotel, dalam 30-40 langkah, dah sampai gate Masjid Nabawi. 


Bersambung nanti boleh tak ? 


Catatan Perjalanan Ke Madinah Kota Bercahaya (Spoiler)

Salam

Spoiler sikit nak post pasal benda ni. Tapi ye masih sibuk dengan kerja. Kena taip sedikit demi sedikit. Nantikan catatan penuh ye nanti.